JUSTICE FOR ZARA QAIRINA
KOTA KINABALU : Mahkamah Koroner hari ini diberitahu oleh saksi kanak-kanak, seorang pelajar memarahi dan menjerit kasar terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam kejadian arwah dipanggil untuk disoal mengenai kehilangan dompet.
Prosiding turut diberitahu seorang lagi saksi mengenai geng 'Circle 19' di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, yang mempunyai 19 anggota kumpulan, semuanya satu tingkatan dan berkawan rapat sejak awal, yang mana saksi itu mengakui dia sebahagian ahlinya.
Dalam keterangan pertama, saksi keempat kanak-kanak memberitahu inkues, ketika dua orang pelajar berjumpa dengan Zara Qairina pada malam itu, beberapa lagi orang pelajar tiba-tiba masuk ke dorm (bilik asrama lain).
Saksi itu berkata, Zara Qairina masih dalam keadaan duduk bersila ketika beberapa orang lagi pelajar masuk ke dorm berkenaan dan beberapa pelajar yang baru masuk berdiri manakala Zara Qairina duduk menghadap seorang pelajar yang berdiri.
Pada masa itu, saksi terbabit berkata, beliau mendengar kata-kata seorang pelajar yang berjumpa dengan Zara Qairina yang terus marah, termasuk menjerit kasar seperti 'budu (bodoh) sial, aku injak la kepala ko ni.'
Jelas saksi terbabit, jeritan pelajar itu terhadap Zara Qairina sangat kuat dan boleh didengari satu dorm.
Saksi berkenaan yang menyifatkan Zara Oairina sebagai pelajar yang baik, berkata pada malam kejadian, arwah dipanggil ke bilik asrama lain untuk ditanya mengenai kehilangan dompet.
Saksi itu berkata, pada mulanya dua orang pelajar bertanya dengan Zara Qairina mengenai kehilangan dompet, yang mana pada perjumpaan berkenaan, hanya dua orang pelajar dengan Zara Qairina pada masa itu.
Menurut saksi lagi, Zara Qairina duduk bersila di atas lantai dan menghadap seorang pelajar yang juga duduk atas lantai.
Katanya, pelajar berjumpa Zara Qairina selama 20 minit dan Zara Qairina kemudiannya dilihat kembali ke bilik asramanya sendiri.
Menurut saksi itu, cuaca pada malam itu "hujan lebat, kuat angin, ribut."
Saksi berkata, warden menyuruh mereka semua naik ke asrama.
Keterangan saksi hari ini diperoleh media melalui kenyataan media ringkasan harian prosiding inkues oleh pasukan guaman mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Sementara itu, saksi kanak-kanak kelima yang mengakui sebahagian Circle 19, menceritakan bagaimana seorang pelajar menyuruh Zara Qairina duduk di lantai, sebelum dia ditanya mengenai isu kehilangan dompet itu.
Saksi itu berkata, seorang pelajar menuduh Zara Qairina mengambil dompetnya, dan dinafikan oleh Zara Qairina.
Zara Qairina kemudian disuruh bersumpah dan dia bersumpah dengan nama Allah sambil berkata "Wallahi." Pelajar kemudian meminta Zara Qairina balik ke bilik dia tetapi dia masih kekal duduk saja di lantai.
Menurut saksi itu lagi, selepas itu, seorang pelajar lain datang ke dalam bilik menyoal dengan nada marah mengenai barangan peribadi pin bendera yang ditemui di dalam beg Zara Qairina , sambil menjerit perkataan "Bodoh, sial."
Saksi berkata, pelajar itu menyoal bagaimana pin benderanya ada di dalam beg Zara Qairina, tetapi dia (Zara Qairina) hanya diam manakala pelajar lain juga menyoal mengenai lencana bendera itu, bagaimanapun Zara Qairina menafikan sambil menyatakan 'bukan dia'.
Selanjutnya, saksi berkata, pelajar yang marah keluar dan memanggil beberapa pelajar lain, manakala pelajar terus menyoal mengapa pin bendera itu ada di dalam beg Zara Qairina dan sama ada dia mengambilnya.
Katanya, Zara Qairina tetap bertegas bukan dia yang mengambilnya.
Saksi itu juga berkata ada pelajar melihat surat berlipat bersama beberapa pelajar ketika berdekatan dengan Zara Qairina yang masih duduk atas lantai sambil menundukkan kepalanya, bagaimanapun berkata dia tidak masuk campur.
Saksi berkata, dia kemudian mendapat tahu ada seorang pelajar terjatuh dari bangunan asrama dan mengenali pakaian yang dipakai oleh Zara Qairina pada malam sebelumnya.
Saksi itu juga menegaskan sebelum kejadian, Zara Qairina adalah seorang yang ceria, peramah, dan tidak menunjukkan tanda-tanda masalah mental atau tekanan emosi
Pada perkembangan lain, pasukan pemeriksa dokumen forensik pasukan guaman ibu Zara Qairina selesai sesi proses pemeriksaan mereka hari ini.
Menurut pasukan guaman itu, pihaknya telah berbincang dengan Pegawai Pengendali untuk memohon semula pemeriksaan baki dokumen lain dalam simpanan Jabatan Kimia (Bahagian DNA Forensik) dalam masa terdekat.
Katanya, ia membabitkan sejumlah 11 item dokumen mengandungi tulisan, termasuklah Buku Hijau bertajuk 'Love and Peace'.
#justiceforzara
JUSTICE FOR ZARA QAIRINA
Reviewed by Admin Kab. Semarang
on
Rating:
Tidak ada komentar